Saturday, March 12, 2011

Apakah kita dalam golongan yang di rindui Rasulullah saw.?

   Istimewanya pada suatu pagi ma dapat mendengar motivasi pagi dari Ust Zamri mantop, yang berkongsi tentang Peperangan Mu'tah.

   Kalau kita masih ingat, dalam peperangan ini Rasulullah telah melantik 3 orang orang panglima perang. Yang pertama adalah Zaid Ibn Harithah, sekiranya Zaid syahid maka akan digantikan oleh Ja'afar Ibn. Abi Thalib, dan sekiranya Ja'afar juga syahid maka akan di gantikan dengan Abdullah Ibn. Rawahah. Dan akhirnya sekiranya Abdullah syahid maka tentera muslimin sewajarnya memilih pemimpin yang mereka rasa layak untuk menjadi panglima perang ketika itu.

   Pada mulanya Zaid bin Harithah yang memegang bendera panji Islam tetapi beliau telah gugur syahid yang mana panji tersebut seterusnya dipegang oleh Ja'afar bin Abi Thalib. Beliau turut gugur yang mana kedua-dua tangan as-syahid dipotong oleh musuh manakala 50 kesan panahan musuh terdapat pada badan beliau. Kemudian panji itu berpindah ke tangan Abdullah bin Rawahah tetapi beliau juga gugur syahid yang mana kepimpinan selepas itu diterajui oleh panglima perang yang agung iaitu Khalid bin Al-Walid dengan persetujuan daripada tentera Islam yang lain.

   Betapa besarnya pengorbanan sahabat2 nabi yang bersusah payah, bergadai nyawa menjulang panji Islam. Mereka pastinya menjadi kesayangan Nabi atas pengorbanan mereka yang besar dalam memperjuangkan agama Allah. 

Tapi ingatkah kita pada suatu kisah dari hadith Rasulullah saw ;

Indah sungguh wajah itu.Bercahaya menerangi seluruh para Sahabat yang setia berada disisi demi mendengarkan bait bicara mutiara dari bibir kekasih yang Agung itu. Tiba-tiba wajah bersih indah itu basah dijirusi air mata. Para Sahabat sudah mulai gelisah, ada apakah dengan manusia agung ini? Risau dan tertanya-tanya, Sahabat yang terdekat, yang terpercaya lantas bertanya;

"Kenapa Ya Rasulullah, kenapa kamu menangis?"

"Aku merindui para ikhwan". Ringkas.

Rasa iri hati mulai terbit di hati Sahabat. Kenapa Rasulullah menyebut demikian? Mereka bukankah semuanya saudara Rasulullah? Lantas Saidina Abu Bakar bertanya lagi:

"Bukankah kami ini Ikhwanmu?"

"Tidak, Abu Bakar, kamu semua adalah Sahabat-sahabatku" Jawab Rasulullah.

"Ikhwanku itu, adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka"

Apakah kita layak dirindui Rasulullah saw, sedangkan pengorbanan kita tidak setanding dengan Ja'afar B. Abi Thalib?